Tuesday, August 19, 2008

Penyokong PKR GANAS ?

Seperti yang dijangkakan hari penamaan calon pilihanraya kecil Permatang Pauh akan dicemari dengan insiden keganasan termasuklah insiden “ belasah wartawan “. Akhbar arus perdana bertali arus mengutuk parti pembangkang yang mencetuskan peristiwa keganasan, parti PKR sekali lagi dipersalahkan dek rusuhan itu. Saya hairan kenapa setiap kali berlakunya pilihanraya kecil akan berlaku peristiwa “belasah wartawan”. Apa yang tidak kena dengan sistem demokrasi negara kita. Itupun jika insiden benar-benar berlaku, kalau tidak ia hanya lakon kotor politik Umno atau tidak pun unsur-unsur provokasi. Didalam suasana orang yang begitu ramai apa-apa pun boleh berlaku, adalah tidak adil jika pimpinan Umno menghalakan insiden tersebut kepada PKR tanpa melalui siasatan yang rapi kerana untuk memiliki sehelai baju dan sehelai bendera berlambang PKR tidak sampai pun RM 20.00, sesiapa pun boleh memilikinya, apatah lagi bertujuan jahat yang memang telah dirancangkan dari awal.
Kalaulah kita ingin mencari kebenaran tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, Insiden “ belasah wartawan” boleh dielakan jika liputan media massa arus perdana di negara kita berlaku dengan adil tanpa berat sebelah dan tiada unsur-unsur khianat terhadap laporan dipihak parti pembangkang. Mungkin perbuatan mereka itu hasil daripada tak mampu lagi menahan kesabaran akibat berita yang tidak adil itu. Secara logiknya kenapa orang biasa akan menjadi kasar tingkah lakunya bila menghadapi suasana pilihanraya kecil tentulah ada sebabnya. Oleh itu seratus peratus kesalahan tidak boleh diletak kepada penyokong PKR semata-mata.
Penyokong sesebuah parti politik sudah tentu datang dari pelbagai latarbelakang, maka tak hairanlah, jika berlaku insiden yang tak diingini kerana ketidakpuasan hati mereka, bila berhadapan dengan suasana yang berat sebelah sedang mengundi adalah hak mereka yang telah diperuntukkan didalam perlembagaan. Apa yang mendukacitakan ialah jika pimpinan sendiri yang mencetus provokasi seperti apa yang dikatakan oleh Datuk Noh Omar yang dipetik dari Bernama.com ogos 17 ” Kita nak beri amaran kepada PKR, jangan nak jolok sarang tebuan. Jangan ingat dia jadi hero. Kalau dia samseng, kita sepuluh kali pun boleh jadi samseng” ini apa? ini cakap seorang menteri kah atau tukang sapu.
Kita bersimpati kepada jurugambar akhbar New Straits Times, Mohamed Sairen Mohamed Nahfis dan Halim Berbar dari HBL Press News kerana menjadi mangsa keadaan seperti mana kita juga bersimpati kepada anggota polis kita yang sentiasa berdepan dengan pelbagai kemungkinan semasa menjalankan tugas. Oleh itu selagi dunia penyiaran kita masih lagi berada pada takuk ini maka wartawanlah yang akan menjadi mangsa dek kerana kepincangan sistem demokrasi kita. Oleh itu jangan berumah ditepi pantai jika takut akan dilambung ombak.

No comments: